Setelah berumah tangga, pastinya setiap pasangan suami isteri mahukan zuriat sendiri.
Ada yang mahu terus segera dapat baby. Ada yang mahu menikmati bulan madu hidup berdua sebentar, sebelum bersedia untuk menambah bilangan ahli keluarga.
Apapun pilihan anda, setelah beberapa waktu mencuba untuk hamil, sekiranya masih belum ada tanda-tanda untuk mendapat zuriat, segeralah dapatkan rawatan doktor.
Masalah kesuburan ini bukan jatuh pada bahu isteri sahaja. Suami juga ada peranannya, kerana memang ada lelaki yang mempunyai masalah tahap kesuburan yang rendah.
7 Faktor Boleh Merendahkan Tahap Kesuburan Lelaki
Masalah kesuburan lelaki boleh disebabkan oleh pelbagai faktor.
Berikut ialah 7 faktor yang boleh mengurangkan kesuburan lelaki. (Sumber KKM)
(1) Kecederaan atau jangkitan kepada satu atau kedua-dua buah zakar. Bengkak akibat dipukul atau jatuh. Jangkitan beguk dan jangkitan organisma bawaan seks boleh melibatkan buah zakar.
(2) Persekitaran yang panas. Pendedahan buah zakar kepada persekitaran yang panas untuk jangka masa panjang seperti tukang masak di dapur, pekerja kilang, dan suka memakai seluar dalam yang ketat. Suhu optima untuk buah zakar ialah 2 darjah Celcius lebih rendah daripada suhu badan.
(3) Pengambilan ubat tertentu seperti sitotoksik, steroid, kokain, ganja, cimetidine dan lain-lain.
(4) Terdedah kepada toksik dan sebatian kimia seperti asap rokok, alkohol, logam berat, racun serangga, benzene dan lain-lain.
(5) Kelainan buah zakar dan saluran yang membawa sperma seperti penyakit varicocoele, buah zakar yang tidak turun ke skrotum (undescended testis), kelainan kongenital vas deferen dan ketumbuhan (tumor).
(6) Masalah pancutan air mani tidak sempurna, lewat atau gagal, dan ejakulasi songsang (retrograde ejaculation) ke dalam pundi kencing.
(7) Masalah ketegangan zakar, atau, mati pucuk.
Dapatkan Rawatan Masalah Kesuburan Dari Doktor
Daripada senarai punca-punca di atas, masalah kesuburan yang boleh di atasi adalah:
- Masalah penghasilan dan fungsi sperma.
- Kekurangan hormon kesuburan lelaki ‘andropos’.
- Pembentukan antibodi kepada sperma.
- Salur sperma tersekat.
Sekiranya anda mengalami salah satu dari faktor di atas, segeralah berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan tentang masalah tahap kesuburan yang rendah. Lebih cepat dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor, lebih cepatlah masalah tahap kesuburan rendah dapat di atasi.
*DISCLAIMER
Sumber asal entri infografik ini daripada laman rasmi FB KKM. Kami kongsikan di sini bertujuan untuk panduan kepada umum sahaja, BUKAN untuk sebarang tujuan rawatan. Segeralah berjumpa dengan doktor yang pakar untuk dapatkan rawatan bagi masalah kesuburan anda.