Penyakit kencing manis (Diabetes Mellitus) adalah satu keadaan di mana paras glukos (gula) di dalam darah menjadi tinggi disebabkan oleh kekurangan atau ketiadaan insulin.
Hormon insulin di hasilkan oleh organ pankreas. Insulin mengawal keseimbangan glukos di dalam badan dengan membantu pergerakan glukos dari dalam darah ke dalam sel.
Beza Diabetes Type 1 dan Diabetes Type 2
Bagi pesakit kencing manis, glukos tidak boleh masuk ke dalam sel. Jadi, glukos kekal di dalam darah dan menyebabkan paras glukos darah yang tinggi.
Diabetes type 1 ialah sakit auto-immune, di mana sistem imun diaktifkan untuk memusnahkan sel beta di dalam pankreas, organ yang menghasilkan insulin. Badan tak hasilkan insulin. Kencing manis jenis 1 ini biasanya boleh dikesan sejak dari kanak-kanak lagi.
Diabetes type 2 ialah keadaan bilamana pankreas hasilkan insulin, tetapi badan tak dapat gunakan insulin dengan betul kerana gula dalam darah yang tinggi. Ia dikenali sebagai rintangan insulin. Simptom kencing manis jenis 2 ini adakala sukar dikesan terutamanya di peringkat awal.
7 Tanda Awal Kencing Manis Jenis 2 (Diabetes Type 2)
Ramai pesakit kencing manis jenis 2 (Diabetes Type 2) tak sedar bahawa mereka ada diabetes.
Berikut ialah 7 tanda awal Kencing Manis Jenis 2 (Diabetes Type 2):
(1) Kerap Kencing (Buang Air Kecil)
Bila ada lebihan glukos dalam darah bagi pesakit kencing manis jenis 2, buah pinggang akan mengepam glukos keluar dari darah ke dalam air kencing. Ini menyebabkan penghasilan lebih banyak air kencing dan kekerapan ke tandas bertambah.
Pesakit kencing manis jenis 2 juga berisiko tinggi untuk terkena jangkitan di saluran kencing, Urinary Tract Infection (UTI), berbanding individu normal.
Pesakit diabetes wanita berisiko tinggi untuk terkena UTI ini, berbanding pesakit diabetes lelaki.
(2) Rasa Haus Teramat & Mulut Kering
Glukos darah yang tinggi beri efek domino di dalam badan kita. Glukos darah yang tinggi ini akan meningkatkan penghasilan air kencing, sekaligus penyebab asyik nak buang air kecil.
Kekerapan buang air kecil akan menyebabkan kita kehilangan banyak bendalir, dan dehidrasi. Inilah penyebab mulut terasa kering, kerap dahaga dan rasa haus teramat. Asyik nak minum je.
(3) Asyik Rasa Lapar
Individu penghidap diabetes type 2 mempunyai rintangan insulin, di mana badan mereka tak boleh gunakan insulin dengan baik untuk bantu glukos masuk ke dalam sel.
Selain itu, insulin dalam badan pesakit diabetes type 2 juga tidak bekerjasama baik dengan otot, lemak dan tisu-tisu lain. Jadi, pankreas (organ yang hasilkan insulin) mula hasilkan lebih banyak insulin, kononnya untuk seimbangkan keperluan insulin di dalam badan.
Kesan sebaliknya pula berlaku di mana paras insulin menjadi terlalu tinggi di dalam badan. Paras insulin yang tinggi ini akan beri signal kepada otak yang badan kita kelaparan.
(4) Berat Badan Menurun
Bila anda ada diabetes type 2, sel-sel dalam badan tak mendapat cukup glukos, menyebabkan berat badan menurun. Selain itu, apabila anda kerap kencing kerana sakit kencing manis yang tidak terkawal, anda akan kehilangan lebih kalori dan air, yang menyebabkan turun berat badan.
(5) Selalu Kebas & Sakit Kaki
Gula darah yang tinggi dalam tempoh masa yang lama akan merosakkan saraf-saraf di seluruh badan. Satu keadaan yang dipanggil diabetic neuropathy.
Sesetengah orang mungkin tak rasa langsung yang saraf-sarafnya sedang mengalami kerosakkan. Namun, ada sesetengah golongan yang akan rasa kebas, ngilu, atau sakit yang ekstrim.
Biasanya diabetic neuropathy ini akan menyerang pesakit yang mempunyai diabetes type 2 melebihi 25 tahun ke atas. Namun, ada juga pesakit pre-diabetes yang mengalaminya. Kesakitan ini biasanya akan bermula dari kaki, dan akan bergerak ke arah bahagian atas badan.
(6) Kabur Penglihatan
Lensa pada mata ialah satu membran fleksibel yang dipegang oleh otot, yang menukarkan bentuk lensa supaya mata boleh fokus. Di dalam persekitaran tinggi gula seperti diabetes type 2 yang tidak terkawal, kebolehan lensa untuk melengkung terganggu. Ia dipanggil Diabetic Retinopathy.
Walaupun lensa tidak rosak, otot pada mata terpaksa bekerja keras untuk fokus.
Penglihatan yang kabur terjadi bilamana ada perubahan mendadak pada gula dalam darah – dari rendah kepada tinggi, ataupun dari tinggi kepada rendah – dan otot mata belum sempat nak adaptasi dengan perubahan tersebut. Badan kemudiannya akan menyesuaikan diri dengan paras gula di dalam darah, dan penglihatan akan kembali normal.
(7) Mudah Kena Jangkitan & Masalah Kewanitaan
Bakteria dan yis akan berkembang biak dengan pantas di dalam persekitaran tinggi gula, seperti di dalam badan pesakit diabetes yang punyai paras gula dalam darah yang tinggi.
Jadi, pesakit diabetes wanita cenderung untuk dapat pelbagai masalah kewanitaan seperti jangkitan bakteria, jangkitan yis, dan vaginal thrush, terutama bila gula dalam darah tak terkawal.
Diabetes Type 2 Yang Tak Disedari
Kurang kesedaran tentang simptom awal pre-diabetes dan juga diabetes type 2 ini akan menyebabkan pengurusan paras gula berlebihan di dalam darah menjadi sukar.
Perhatikan tanda-tanda awal kencing manis ini. Jika anda mempunyai salah satu daripada simptom kencing manis jenis 2 ini, segeralah dapatkan rawatan dari doktor bertauliah.
Jangan lupa amalkan gaya hidup sihat. Minum air kosong, jangan minum kalori. Banyakkan sayur dan buah-buahan. Jaga makan dan luangkan masa untuk bersenam. Insya Allah… 😀
Rahasimah says
Bagus info ni arnie dan kak manis pun kena berjaga-jaga sebab dah ada keturunan.huhuhu
GenkiMomma says
Saya pun risau, banyak sangat minum Teh Tarik! 😀
Nur Razali says
Baru2 nie ade dengar berita kata Malaysia antara negara asia kedua tertinggi penghidap diabetes selepas arab saudi..
Mudah2an kita jaga kesihatan yang Allah kurniakan sebaik mungkin..
Cegah sebelum parah..
GenkiMomma says
Makanan kat negara kita nie sedap2 semuanya kan, susah nak tolak, hihi.. tapi tue lah tinggi gula dan karbo, tak balance langsung..
eima says
Info TERBAIK. nampaknya dah kena minum air kosong banyak2 & banyakkan makan buah & sayur sekarang ni