“Alaaa period lah pulak… Dah nak masuk 10 malam terakhir nie… Sedihnya!”
Zaman remaja dulu, mungkin ramai yang gembira bila didatangi haid ketika bulan Ramadhan. Maklumlah masih budak-budak lagi, tak matang. Belum boleh menjiwai kemanisan beribadah.
Jadi, ketibaan haid disambut dengan riang gembira kerana Allah bagi cuti puasa.
Namun, bila usia semakin matang – dah jadi isteri, dah jadi ibu, dan anak sendiri pun dah mula belajar puasa, lain betul perasaannya bila didatangi haid ketika Ramadhan.
Tipu lah kalau kata tak sedih. Lagi sayu bila haid datang di hari-hari terakhir Ramadhan.
Amalan Wanita Haid 10 Malam Terakhir Ramadhan
Sahabat muslimah yang dikasihi, ibadah di bulan Ramadhan, terutama 10 malam terkahir Ramadhan, bukanlah sekadar puasa, solat tarawikh, dan membaca Al-Quran sahaja.
Ada banyak lagi amalan ibadah lain yang boleh dilakukan oleh wanita yang di datangi haid di bulan Ramadhan, terutamanya 10 malam terakhir Ramadhan ini.
Amalan buat wanita yang di datangi haid di bulan Ramadhan:
- Zikrullah – tasbih, tahmid dan tahlil.
- Istighfar – mohon ampun kepada Allah.
- Selawat ke atas Nabi.
- Berdoa – terutama di waktu-waktu mustajab doa, dan dipertemukan Lailatul Qadar.
- Membaca/ mendengar ayat-ayat Al-Quran tanpa memegang mushaf Al-Quran.
- Bersedekah, infaq, membantu orang di dalam kesusahan.
- Sediakan juadah bersahur dan berbuka.
- Membaca hadith Nabi.
- Membaca buku-buku agama.
- Menghadiri majlis ilmu.
- Menjaga lidah daripada membuat dosa.
- Menulis di blog atau di laman sosial, mengajak manusia ke arah kebaikan.
Dan macam-macam lagi amal ibadah dan kebaikan yang boleh kita lakukan sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Tidak berpuasa, tak bermakna kita tak boleh buat amalan yang lain.
Doa Dipertemukan Malam Lailatul Qadar
Kita digalakkan untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan, dan memburu malam Lailatul Qadar. Ini kerana, malam Lailatul Qadar ini lebih baik daripada 1000 bulan [Al-Qadr: 2]
Berikut ialah doa yang boleh diamalkan agar dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar.
“Allahumma innaka ‘Afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu ‘annii” | “Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta keampuanan, maka ampunilah aku.”
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi ﷺ bersabda:
“Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan (pahala), diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, hadis no: 1778]
Tips Menghidupkan 10 Malam Terakhir Ramadhan
Haid adalah sesuatu yang tabi’ie, dan tidak dapat dielakkan. Ia sunnatullah, datang daripada Allah.
Semoga kita dapat memanfaatkan bulan Ramadhan ini sepenuhnya, walaupun ketika didatangi haid. Jangan biarkan Ramadhan berlalu pergi tanpa kita dapat keampunan Allah.
Semoga Ramadhan kali ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Insya Allah… 🙂