Qunut Nazilah ertinya membaca doa kerana sesuatu bala bencana supaya kita dilindungi Allah.
Apakah Bacaan Qunut Nazilah Dituntut Dalam Situasi Covid-19?
Qunut Nazilah merupakan suatu perbuatan yang tsabit di sisi syarak. Ia dilakukan setiap kali ada sahaja peristiwa tertentu atau lebih khususnya suatu musibah menimpa umat Islam. Rasulullah S.A.W sendiri pernah melakukan Qunut Nazilah di dalam solat ketika berlakunya pengkhianatan dan juga pembunuhan terhadap beberapa orang sahabat baginda.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A beliau berkata :
Benarlah firman Allah SWT,
أَنَّ رِعْلاً، وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ اسْتَمَدُّوا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَدُوٍّ، فَأَمَدَّهُمْ بِسَبْعِينَ مِنَ الأَنْصَارِ، كُنَّا نُسَمِّيهِمُ الْقُرَّاءَ فِي زَمَانِهِمْ، كَانُوا يَحْتَطِبُونَ بِالنَّهَارِ وَيُصَلُّونَ بِاللَّيْلِ، حَتَّى كَانُوا بِبِئْرِ مَعُونَةَ قَتَلُوهُمْ، وَغَدَرُوا بِهِمْ، فَبَلَغَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، فَقَنَتَ شَهْرًا يَدْعُو فِي الصُّبْحِ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَبَنِي لَحْيَانَ
Maksudnya: Sesungguhnya Ri’l, Zakwan, Usaiyyah dan Bani Lahyan meminta bantuan daripada Nabi S.A.W untuk menyediakan kepada mereka beberapa orang lelaki untuk memerangi musuh mereka. Maka baginda S.A.W menghantarkan kepada mereka tujuh puluh orang lelaki dari golongan Ansar yang dikenali sebagai Al-Qurra’ (penghafaz al-Quran). Maka mereka ini membantu untuk mengumpul kayu api pada siang, dan bermunajat kepada Allah pada waktu malam. Ketika mana mereka (golongan Ansar) sedang berada di lembah Ma’unah mereka dibunuh dan dikhianati.
Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, baginda membaca qunut (nazilah) selama sebulan dalam solat subuh mendoakan (kecelakaan) ke atas sebahagian arab, Ri’il, Zakwan, Usaiyyah dan puak Lahyan. -Riwayat Al-Bukhari (4090)
Kesimpulannya, bacaan Qunut Nazilah semasa musibah menimpa umat Islam adalah disyariatkan dan hukumnya adalah mustahab (sunat), dalam usaha untuk mendoakan keselamatan & kesejahteraan umat Islam dari sebarang wabak dan penyakit berjangkit. *Sumber: muftiwp.gov.my
Cara Membaca Qunut Nazilah
Doa Qunut Nazilah ini boleh dibaca di dalam solat fardhu berjemaah mahupun solat fardhu secara bersendirian. Jika dilakukan secara berjemaah, imam membacanya secara kuat dan makmum mengaminkannya. Jika dilakukan secara berseorangan maka ia dibaca secara perlahan.
Qunut Nazilah boleh dibaca pada setiap solat fardhu: Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. Doa ini dibaca pada rakaat terakhir selepas bangun dari Ruku’ untuk ‘Itidal.
Ada 3 cara membaca doa Qunut Nazilah:
- Baca doa Qunut sepertimana biasa dibaca ketika solat Subuh.
- Baca doa Qunut Nazilah sahaja seperti di bawah ini.
- Baca doa Qunut Subuh dan diikuti dengan doa Qunut Nazilah.
Sekiranya tidak menghafal doa Qunut Nazilah, bolehlah membaca doa Qunut sepertimana di dalam solat Subuh. Kemudian, doa Qunut Nazilah ini dibaca selepas solat selesai.
Untuk solat berjemaah, para Imam hendaklah memberitahu para jemaah bahawa doa Qunut akan dibaca di dalam solat agar mereka boleh meng-Amin kan doa tersebut bersama.
Disyariatkan di dalam solat-solat fardhu sahaja. Tidak pada solat sunat. *mufti.penang.gov.my
Doa Qunut Nazilah
Inilah doa Qunut Nazilah:
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.
Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas,kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur.
Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.
Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”
Bilakah Waktu Bacaan Qunut Nazilah?
Sebagai peringatan, Qunut Nazilah hanya dibacakan apabila manusia ditimpa sesuatu musibah.
Maka, solat fardhu selain solat subuh tidak dibaca qunut melainkan jika berlaku sesuatu perkara buruk. Ini berdasarkan hadis:
Sesungguhnya Nabi Muhammad S.A.W telah membaca doa Qunut pada waktu selain dari Subuh sewaktu pembunuhan sahabat-sahabatnya penghafaz-penghafaz al-Quran. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
*Sumber: masjidwilayah.gov.my